Sekiranya membicarakan Piala Dunia daripada sudut yang lebih mendalam, ia bukan sekadar kejohanan bola sepak, malah sebuah acara yang menyatukan keluarga dan sahabat handai.

Di seluruh dunia, keluarga akan berkumpul di hadapan televisyen untuk menyaksikan sukan paling popular di dunia itu dipertandingkan di pentas terbesarnya.

Bagi yang tidak menonton di rumah pula, ramai memilih untuk berhimpun bersama rakan-rakan di kedai mamak atau restoran bagi menikmati kemeriahan kejohanan tersebut.

Namun, dalam sejarah Piala Dunia, keistimewaan kejohanan ini turut dapat dilihat melalui kesinambungan generasi. Sejak edisi pertama pada tahun 1930, terdapat beberapa pemain yang mengikuti jejak langkah bapa mereka dengan beraksi di pentas yang sama walaupun pada edisi dan era berbeza.

Walaupun belum ada pasangan bapa dan anak yang kedua-duanya pernah menjulang trofi Piala Dunia sebagai pemain, beberapa gandingan tersebut tetap berjaya meninggalkan impak tersendiri dan mencipta legasi dalam sejarah kejohanan ini.

Antaranya ialah:

Bapa-Anak Rasai Pengalaman Piala Dunia

1) Lilian Thuram & Marcus Thuram (Perancis)

Lilian mencatat dua gol dalam 16 penampilan sepanjang tiga edisi Piala Dunia (1998, 2002 dan 2006) serta muncul juara edisi 1998.

Manakala anaknya, Marcus pula sudah membuat enam penampilan dalam dua edisi kejohanan (2022 dan 2026).

2) Claudio Reyna & Giovanni Reyna (Amerika Syarikat)

Claudio mencatat 10 penampilan merentasi empat edisi Piala Dunia (1994, 1998, 2002 dan 2006) manakala Giovanni pula berjaya menjaringkan satu gol dalam tiga penampilan sepanjang dua edisi kejohanan (2022 dan 2026).

3) Zinedine Zidane (Perancis) & Luca Zidane (Algeria)

Juara Piala Dunia 1998 itu membuat 12 penampilan sepanjang edisi 1998, 2002 dan 2006 manakala anaknya, Luca sudah membuat dua penampilan pada kempen 2026.

4) Alfe Inge Haaland & Erling Haaland (Norway)

Alfe Inge membuat dua penampilan pada edisi 1994 manakala Erling pula sudah meledakkan empat gol dalam dua penampilannya di Piala Dunia 2026.

5) Goran Sorloth & Alexander Sorloth (Norway)

Goran membuat satu penampilan pada Piala Dunia 1994 manakala Alexander pula sudah menikmati dua penampilan pada 2026.

6) Erik Thorstvedt & Kristian Thorstvedt (Norway)

Erik yang beraksi di posisi penjaga gol beraksi pada tiga perlawanan saingan 1994. Sementara itu Kristian yang beraksi di posisi tengah membuat satu penampilan pada edisi 2026.

7) Gregg Berhalter & Sebastian Berhalter (United States)

Greg membuat dua penampilan dalam Piala Dunia 2002 manakala setakat ini Sebastian dua kali beraksi di laman sendiri untuk edisi 2026.

8) Sergio Conceicao & Francisco Conceicao (Portugal)

Sergio beraksi tiga perlawanan pada 2002 manakala Francisco pula dengan dua penampilan di edisi 2026.

9) Joseph Elanga (Cameroon) & Anthony Elanga (Sweden)

Joseph tidak pernah membuat penampilan tetapi berada dalam senarai skuad Cameroon pada 1998 manakala Anthony yang memilih Sweden sudah membuat dua penampilan pada 2026 serta menjaringkan satu gol.

10) Lee Eul-Yong & Lee Tae-Seok (South Korea)

Eul-Yong membuat empat penampilan (2002 dan 2006) manakala Tae-Seok beraksi pada tiga aksi awal saingan kumpulan edisi 2026.

11) Bryan Gunn & Angus Gunn (Scotland)

Sama seperti Joseph, Bryan tidak pernah beraksi tetapi berada dalam skuad Scotland menghadapi Piala Dunia 1990.

Angus pula menikmati tiga penampilan dalam saingan 2026.

12) Patrick Kluivert & Justin Kluivert (Belanda)

Legenda Belanda itu membuat empat penampilan di Piala Dunia 1998 manakala anaknya, Justin berada dalam pasukan tetapi masih belum membuat penampilan di edisi 2026.

13) Diego Simeone & Giuliano Simeone (Argentina)

Diego yang kini mengendalikan Atletico Madrid membuat 11 penampilan dalam tiga saingan Piala Dunia berbeza.

Giuliano yang berada dalam pasukan 2026 masih belum diturunkan oleh Scaloni.

14) Pablo Paz & Nico Paz (Argentina)

Nasib sama dihadapi Nico yang masih belum diturunkan manakala bapanya, Pablo membuat satu penampilan pada 1998.

Kesimpulan

Barisan yang dinyatakan di atas adalah pemain yang beraksi serta menyertai pasukan masing-masing pada edisi 2026.

Banyak lagi senarai bapa dan anak yang turut pernah menikmati pengalaman beraksi di pentas Piala Dunia seperti Peter dan Kasper Schmeichel, Danny dan Daley Blind, Mazinho dan Thiago Alcantara, Miguel dan Pepe Reina, Pablo dan Diego Forlan serta ramai lagi.

Ada lagi yang anda tahu? Kongsikan di ruangan komen!