Peminat yang mengikuti rapat aksi futsal di Asia pastinya mengenali sosok tubuh pemain pivot ternama kelahiran Thailand iaitu Suphawut Thueanklang.

Pada usia yang bakal mencecah 35 tahun pada 14 Julai nanti, beliau membuktikan bahawa sentuhannya masih di kelas tersendiri untuk menggalas tanggungjawab bersama skuad kebangsaan Thailand.

Baca Juga:

Ia jelas dibuktikan apabila beliau memainkan peranan penting dalam membantu Thailand muncul juara Kejuaraan Futsal NSDF 2024 hasil ledakan hatrik menewaskan Australia 9-2, semalam.

Pertukaran ketua jurulatih dari Carlos Cesar Gago kepada Miguel Rodrigo (pengendali sementara) jelas memberikan peluang buat Suphawut untuk terus menyerlahkan pengalaman luas dimiliki.

Selain daripada penyudah mantap yang menjadi asetnya saban tahun, kehadiran semula beliau bersama ketua pasukan, Jirawat Sornwichian turut dapat memberikan nilai tambah buat pasukan.

Duo berpengalaman itu turut bertindak selaku mentor kepada pemain-pemain muda yang sedang meningkat naik seperti Krit Aransanyalak, Pichaiyut Kittipanuwong dan Charoondej Muenthiang.

Suphawut turut dipilih sebagai ‘Pemain Paling Bernilai Kejohanan’. Kredit Foto: Futsal Thailand

Malah di peringkat domestik pula, Suphawut yang beraksi bersama Chonburi Bluewave berjaya meledakkan 21 jaringan untuk berada di kedudukan keempat dalam senarai penjaring terbanyak saingan Liga Futsal Thailand 2023.

Beliau berkelebihan dua gol berbanding pemain import Chonburi dari Brazil iaitu Rodrigo Camargo sekali gus menjadi penjaring terbanyak bagi kelab gergasi Thailand itu.

Misi Thailand dan Suphawut Thueanklang selepas ini adalah dalam kempen Piala Asia Futsal 2024 yang bakal berlangsung di Bangkok bermula 17 hingga 28 April nanti.

Pasukan yang berjaya mara ke separuh akhir akan melayakkan diri ke Piala Dunia Futsal 2024 yang akan diadakan pada 14 September hingga 6 Oktober di Uzbekistan.

Sejak edisi 2000, Thailand tidak pernah ketinggalan untuk bersaing dalam kejohanan futsal paling berprestij di dunia itu.