Teka-teki mengenai siapakah bakal bergelar Penolong Ketua Jurulatih Selangor terjawab selepas skuad Gergasi Merah itu mengumumkan kehadiran Muhammad Shahrom Abdul Kalam dan Abdi Hassan.
Kehadiran dua individu tersebut adalah bagi menggantikan penolong jurulatih sebelum ini, Conor Nestor yang memilih untuk menerima tawaran dari Kemboja selaku Ketua Jurulatih Boeung Ket FC.
Baca Juga:
- Pembantu Jurulatih Selangor Sertai Kelab Kemboja
- Nidzam Jamil Sedia Beri Peluang Kepada Pemain Muda Beraksi
- Pernah Hatrik Lawan Harimau Malaya, Ali Olwan Kini Sertai Selangor FC
Abdi atau nama penuhnya Abdifitaah Mohamed Hassan bukanlah asing buat pasukan tersebut kerana beliau sebelum ini membimbing skuad bawah 23 tahun (Piala MFL) Selangor pada musim 2023 dan 2024/25.
Jurulatih dari Belanda itu juga pernah bertindak selaku Ketua Pencari Bakat & Jurulatih Metodologi bagi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).3
Manakala, Shahrom Kalam juga tidak perlu untuk diperkenalkan kerana beliau merupakan ketua pasukan Selangor bagi musim 2014 hingga 2016 dimana pada musim 2015 beliau dan rakan-rakan telah menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-33.
Sebelum menyertai barisan kejurulatihan Selangor, Shahrom membimbing Gombak FC dalam mengharungi saingan A1 Semi-Pro League 2024.
“Abdi bukan lagi wajah asing dalam keluarga Gergasi Merah, pengalaman luas beliau serta kemampuannya membangunkan bakat muda bagi peringkat tertinggi amat ditagih pasukan.”
“Manakala untuk Shahrom, satu lagi wajah yang cukup sinonim dengan bola sepak Merah Kuning. Sifat kepimpinan beliau, pengalaman sebagai pemain, semangat serta dedikasi beliau terhadap pasukan bakal menjadi elemen positif yang akan dibawa oleh beliau ke dalam pasukan,” ujar ketua jurulatih, Nidzam Jamil menurut sumber laman sesawang rasmi Selangor FC.