Skuad negara akan turun pada jam 8.15 malam ini untuk bertemu Perancis bagi aksi kedua Piala Dunia Hoki 2026 yang berlangsung di Wavre, Belgium dan Amstelveen, Belanda.

Skuad kendalian Brendan Carolan itu memburu kemenangan sulung selepas tewas kepada Jerman 1-5 pada aksi pembukaan tempoh hari.

Hanya kemenangan akan sedikit membuka peluang buat skuad The Speedy Tigers untuk mengintai slot ke pusingan kedua.

Namun sekiranya tewas, Marhan Jalil dan rakan sepasukannya akan beraksi di pusingan kualifikasi selepas berakhirnya aksi ketiga peringkat kumpulan bertemu Belgium.

Info Siaran Langsung Hoki Piala Dunia 2026 Malaysia lawan Perancis

Peminat hoki tanah air boleh menyaksikan perlawanan bertemu Perancis itu di saluran Sukan+ di laman sesawang RTMKlik! secara percuma.

Berdasarkan ranking dunia semasa, Malaysia kini berada di kedudukan ke-14 manakala Perancis pula menghuni tangga kesembilan.

Perkiraan di atas kertas memperlihatkan satu lagi tugas sukar bakal dihadapi pemain negara, namun tiada yang mustahil buat mereka untuk cuba melakar kejutan pada perlawanan ini.