Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berhasrat menahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu pengisytiharan harta, lapor Buletin TV3.
Difahamkan ini kerana siasatan terhadap bekas perdana menteri ke-4 dan ke-7 itu masih berjalan, kata Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.
Baca Juga:
- Mirzan Mahathir Diarah Isytihar Aset Dalam Masa 30 Hari
- Tun Mahathir Jelaskan Kenapa Kapal Israel Dibenarkan Berlabuh Pada 2002
- Tun Daim Dedah Miliki Lebih RM50 Bilion Saham Cair Jika Masih Berniaga
“Itu tidak lagi. Kita tidak berhasrat untuk tahan beliau”, katanya.
Tan Sri Azam berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 pagi tadi.
Terdahulu, Tan Sri Azam memberitahu Tun Dr Mahathir antara individu berprofil tinggi yang disiasat berkenaan pengisytiharan harta.
Sebelum ini, bekas menteri kewangan sewaktu beliau menjadi perdana menteri ke-4, Tun Daim turut disiasat SPRM berhubung kes penggubahan wang haram.
Menurut bekas Menteri Kewangan itu, beliau mendedahkan dirinya adalah seorang ahli perniagaan yang kaya dan berjaya, sebelum menyertai politik dan menjawat jawatan awam lagi.
Menurut Daim, jika beliau kekal dalam perniagaan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengembangkan asetnya secara aktif, nilai pegangan saham cair miliknya sahaja akan bernilai lebih RM50 bilion hari ini.
Sementara pada Januari tahun ini, SPRM telah mengeluarkan perintah notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 kepada anak bekas perdana menteri itu, Mirzan Mahathir.
Perintah tersebut memerintahkan Mirzan Mahathir untuk mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih dalam pegangannya, sama ada di dalam atau luar negara, dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.