Seorang wanita meluahkan rasa kurang senang dengan pengalamannya berkahwin dengan lelaki yang ‘queen control’ gaji dan kad bank miliknya, malah hanya diberi RM10 untuk perbelanjaan hariannya.

Menurut Kosmo!, wanita yang baru sahaja setahun melangsungkan perkahwinan itu meluahkan rasa tertekan dengan kawalan yang dikenakan oleh suami terhadap kewangannya.

Baca Juga:

Sebagai pembantu tadbir di salah sebuah firma guaman, dia bekerja keras untuk mencapai tahap gaji yang dia inginkan tetapi akhirnya terpaksa akur setelah kad bank dipegang oleh suami dan gajinya dikawal.

“Saya bekerja 10 jam sehari, dan gaji yang sepatutnya saya nikmati setiap bulan kini dikawal. Dia layan saya seperti kanak-kanak yang tidak mampu menguruskan duit,” keluhnya.

Menetap di Johor Bahru, wanita itu menegaskan bahawa RM10 tidak cukup untuk perbelanjaan harian, tambah-tambah lagi apabila dia perlu mengisi minyak kenderaan untuk ke tempat kerja.

Dia difahamkan terpaksa merayu kepada suaminya untuk mendapatkan wang tambahan jika dia perlu untuk membeli sesuatu.

“Jika saya seorang suri rumah, saya mungkin memahami beberapa batasan, tetapi ini adalah hasil kerja saya sendiri,” tambahnya.

Walaupun dia mengakui bahawa suaminya tidak cuai dalam menyediakan keperluan rumah tangga, dia jujur tidak selesa dengan kawalan ketat yang dilakukan oleh suami ke atasnya sehingga dia memikirkan untuk bercerai.

Kes ini telah membuka pelbagai pandangan mengenai kawalan kewangan dalam perkahwinan dan autonomi wanita bekerja ke atas pendapatan mereka, dengan ramai yang tidak bersetuju dengan pendekatan suami untuk mengawal kad bank dan gaji isterinya.

Sumber