Malaysian Football League (MFL) semalam mengumumkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 Disember 2023 (Jumaat) jam 9.00 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan, harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim ini dikekalkan seperti perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim lalu yang menyaksikan empat kategori tiket akan diagihkan secara sama rata kepada dua finalis iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC).

Baca Juga:

Empat kategori tiket tersebut ialah General Admission berharga RM50 dan RM70, Premium Grandstand RM150 serta VIP Grandstand RM200.

“Sama seperti perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum ini, tiket serendah RM50 dan RM70 dikekalkan untuk aksi final Piala Malaysia 2023 bagi kategori General Admission selain Premium Grandstand RM150 serta VIP Grandstand RM200.

“Penyokong-penyokong JDT dan TFC akan memiliki pilihan dengan penetapan empat ‘tier’ harga tiket ini justeru MFL mengharapkan agar mereka dapat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

“Bagi proses penjualan tiket final Piala Malaysia 2023, MFL seperti mana sebelum ini menyerahkan sepenuhnya urusan itu kepada pasukan finalis bagi memastikan mereka dapat menjual tiket kepada penyokong-penyokong dengan sistematik dan sama rata,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai proses jualan tiket kepada penyokong akan dimaklumkan oleh pihak JDT dan TFC dalam masa terdekat.