Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) menegaskan dua lagi pemain import akan menyertai pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

TMJ berkata demikian menerusi komen di laman media sosial rasmi kelab ketika pasukan itu mengumumkan ketibaan bekas pemain Napoli dan Buriram United, Nicolao Dumitru Cardoso baru-baru ini.

Baca Juga:

“Ada lagi dua pemain. Seorang akan sampai pada bulan Jun,” katanya.

TMJ
TMJ

Meskipun begitu, TMJ tidak mendedahkan nama pemain yang akan menyertai kelabnya pada jendela perpindahan pertama dan kedua musim ini.

Salah seorang pemain yang menjadi perbincangan ialah tonggak tengah skuad kebangsaan, Nooa Laine dimana TMJ pernah menjelaskan pasukannya akan menandatangani pemain itu pada musim akan datang.

Sebelum ini, JDT sudah mengumumkan ketibaan dua pemain import antaranya pemain tengah Syria, Jalil Elias dan Francisco Geraldes.

Dua pemain ini bermakna skuad kendalian Hector Bidoglio itu mempunyai dua pemain import paling mahal dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Berdasarkan laman Transfermarkt, nilai pasaran Geraldes berharga 2.5 juta Euro (RM12.72 juta) sekali gus berada di tangga kedua pemain paling mahal Liga Malaysia selepas Jalil yang bernilai RM15.2 juta.

Nilai dua pemain ini jauh mengatasi pertahanan JDT iaitu kapten skuad kebangsaan Indonesia, Jordi Amat yang mana pemain itu mempunyai nilai pasaran sebesar €800 Ribu atau sekitar RM4 Juta.

Arif Aiman menjadi pemain tempatan termahal dalam skuad kendalian Hector Bidoglio dimana pemain berusia 21 tahun itu mempunyai nilai pasaran sebesar €550 Ribu atau sekitar RM2.8 Juta.