Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mengesahkan seorang pemain naturalisasi bakal perkuat Harimau Selatan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Menurut kenyataan TMJ di ruang komen laman instagram Johor Southern Tigers, skuad JDT sudah hampir 40 peratus siap sepenuhnya dan sedang menunggu ketibaan dua lagi pemain import pada bulan Jun nanti.

Baca Juga:

“JDT dah tandatangani 3 pemain import baharu. Satu akan dipinjamkan, lagi dua sampai bulan Jun,” tulis TMJ.

Malah, TMJ juga mengesahkan sudah menandatangani pemain tempatan dan seorang pemain naturalisasi.

“Pemain tempatan satu sudah ditandatangani dan dipinjamkan untuk dapatkan minit permainan. Lagi satu, naturalisasi dalam skuad JDT,” tambah TMJ.

Pemain naturalisasi dimaksudkan kemungkinan bekas penyerang KL City, Romel Morales berdasarkan khabar angin di media sosial.

Morales turut beraksi bersama skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar baru-baru ini dan berjaya menjaringkan gol penyamaan ke atas Korea Selatan ketika seri 3-3 pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Kehadiran Morales bakal memberi banyak pilihan kepada pengendali JDT, Hector Bidoglio membentuk jentera serangan mantap bersama penyerang import baharu, Nicolao Dumitru, Bergson Da Silva, Fernando Forestieri dan Arif Aiman.

JDT sebelum ini mengumumkan kemasukan pemain import baharu untuk kuota Asia iaitu Jalil Elias dan turut menandatangani pemain tengah dari Brazil, Murilo Henrique.