Pengadil Malaysia terus mendapat pengiktirafan selepas Muhammad Nazmi Nasaruddin bersama dua pembantunya, Muhammad Zairul Khalil Tan dan Mohamad Mu’azi Zainal Abidin telah dipilih untuk bertugas di Piala Dunia B-20 2025 yang bakal berlangsung di Chile bermula 27 September hingga 19 Oktober nanti.
Trio ini akan membawa nama Malaysia ke pentas dunia sebagai barisan pengadil utama dan penolong pengadil yang akan memastikan kelancaran kejohanan bola sepak berprestij tersebut.
Perkembangan terkini itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan sebentar tadi.

Menurut FAM, pemilihan ini adalah satu penghormatan besar serta pengiktirafan tinggi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Pengadil Malaysia Terus Jadi Pilihan
Ia juga merupakan hasil daripada usaha gigih FAM memartabatkan mutu pengadilan bola sepak negara.
Usaha membawa pengadil Malaysia ke kejohanan dunia ini bukanlah perkara baru. Ia sudah dirancang sejak awal dengan inisiatif yang dipimpin oleh Dato’ S. Sivasundaram, Timbalan Presiden FAM serta Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.
Selain itu, sokongan padu daripada ahli jawatankuasa pengadil FAM juga menjadi tulang belakang kejayaan ini.
Nazmi bukan asing dalam arena antarabangsa. Beliau sebelum ini telah dipilih sebagai calon pengadil utama untuk Piala Dunia FIFA 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico.

Malah, beliau juga merupakan pengadil Malaysia pertama yang mengendalikan perlawanan AFC Champions League (ACL) menggunakan teknologi Video Assistant Referee (VAR).
Untuk memastikan persiapan Nazmi dan dua pembantunya berjalan lancar, FAM telah mengambil beberapa langkah proaktif seperti menyediakan latihan intensif dan bantuan kepakaran khas.
Ini semua bertujuan agar mereka dapat menampilkan prestasi terbaik di Chile nanti.
Kejohanan Piala Dunia B-20 ini menjadi batu loncatan penting bagi Nazmi untuk merealisasikan impiannya menjadi pengadil utama pertama dari Malaysia di Piala Dunia 2026.
FAM jelas komited dalam usaha memartabatkan mutu pengadil negara dan mendoakan agar trio pengadil Malaysia ini berjaya menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat dunia.