Ketua jurulatih skuad kebangsaan Jepun, Hajime Moriyasu melaungkan keyakinan menggunung selepas melihat skuad kendaliannya pada ketika ini mengungguli kumpulan C Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan kelebihan sembilan mata.

Mengumpil 16 mata hasil lima kemenangan dan satu keputusan seri, Jepun jelas berada di kelas tersendiri untuk semakin hampir merintis laluan ke saingan yang bakal dilangsungkan di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat itu.

kuih raya
HYPE
Dari Dapur Nenek Ke Dapur Moden: Kuih Raya Tradisi Dengan Elemen Inovatif
Baca lagi →

Baca Juga:

Terbaharu, Jepun berjaya menundukkan Indonesia 5-0 di Indonesia dan menjinakkan China 3-1 juga di gelanggang lawan.

Berdasarkan prestasi ditampilkan pemainnya, Moriyasu menyimpan impian lebih besar daripada sekadar mara ke kejohanan yang paling berprestij itu.

Hal ini kerana dengan barisan mantap para pemainnya, beliau mahu membawa Jepun untuk muncul selaku juara Piala Dunia 2026.

“Walaupun kami memenangi perlawanan itu (bertemu China), ia adalah sesuatu yang sukar,” ujar Moriyasu menurut sumber laporan laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Kami bertahan untuk masa yang lama dan kemudian kami menjaringkan dua gol melalui situasi bola mati. Saya sangat gembira untuk menang.”

“Pasukan China ini berbeza sama sekali dengan pasukan yang tewas 0-7 pada perlawanan sebelum ini di Jepun. Mereka menunjukkan potensi yang besar sejak dari awal permainan.”

“Walaupun kami boleh layak ke Piala Dunia pada bulan Mac, sasaran kami adalah untuk memenangi Piala Dunia,” tambah beliau lagi melaungkan keyakinannya.