Tonggak skuad futsal Malaysia, Awalluddin Mat Nawi beraksi dengan cukup cemerlang dalam Kejuaraan Futsal NSDF 2024 yang sedang berlangsung di Nonthaburi, Thailand.

Daripada dua perlawanan sukar yang dilalui iaitu bertemu Afghanistan dan Thailand, pemain berusia 26 tahun itu sudah meledakkan tiga jaringan.

Baca Juga:

Ketiga-tiga gol yang dihasilkan Awalluddin (dua gol ketika bertemu Afghanistan) jelas memperlihatkan ketenangan beliau dalam mengintai peluang untuk mencipta jaringan yang nyata menyerlahkan kemampuan hebat ledakan kaki kirinya.

Gol tunggal yang dihasilkan ketika bertemu Thailand juga amat menarik untuk diperkatakan dimana beliau mempamerkan ketenangan dalam memperdayakan Sarawut Phalapruek dan penjaga gol, Arun Senbat pada minit ke-33.

Menerima hantaran lintang daripada Ahmad Harith Na’im Mohd Nasir, Awalluddin dengan tenang melakukan ‘fake shot’ yang membuatkan Sarawut dan Arun ‘tertipu’ lalu beliau mudah menolak masuk bola untuk menceriakan seketika kem negara.

Bakat Awalluddin Mat Nawi mula dicungkil oleh pasukan Perak ketika menghadapi Kejohanan Bawah 19 Tahun Piala Raja Iskandar Dzurkarnain 2016 dimana beliau muncul selaku penjaring terbanyak dengan 14 gol.

Malah, Awalluddin turut menjadi nadi kekuatan Perak pada kejohanan tersebut sehingga berjaya muncul juara dengan menundukkan Kelantan di perlawanan akhir.

Susulan prestasi mantap dipamerkan, beliau tidak perlu menunggu lama untuk diserapkan ke skuad futsal kebangsaan bagi menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2016.

Ia merupakan batu lonjakan yang cukup bermakna buat beliau yang sehingga kini terus menjadi sandaran negara.

Bagi saingan domestik, Awalluddin pernah beraksi bersama Perak serta Pahang Rangers dan kini menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT).