Pemain kelahiran Belanda yang dikatakan memiliki darah keturunan Malaysia, Ferdy Druijf kini mula mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas menyatakan minat untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Menerusi satu tangkap layar dikongsikan laman media sosial Frfuturetalents, salah seorang Exco FAM, Christopher Raj sudah menghubungi pemain tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Baca Juga:

Bukan sahaja Ferdy Druijf, beberapa lagi pemain yang dicanang memiliki darah keturunan Malaysia turut dipantau oleh FAM.

Sebelum ini, Druijf  mendakwa beliau ada bukti yang menunjukkan dirinya memiliki darah keturunan Malaysia daripada sebelah neneknya. Malah, ibunya juga dikatakan berasal dari Malaysia.

“Keinginan saya beraksi untuk Malaysia sentiasa ada. Sekarang saya sedang menyediakan dokumen demi membuktikan nenek saya sebenarnya lahir di Malaysia,” katanya.

Ramai peminat bola sepak tempatan menyifatkan pemain yang berusia 26 tahun itu adalah calon pemain warisan terbaik untuk mengisi posisi penyerang skuad Harimau Malaya.

Pemain itu turut mengikuti akaun media sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengetahui setiap perkembangan skuad Harimau Malaya.

Berketinggian 190 sentimeter dan mempunyai nilai pasaran sebesar €1 Juta atau sekitar RM5.3 Juta serta memiliki rekod jaringan memukau dengan 112 gol dalam 266 penampilan sepanjang kariernya menurut statistik Transfermarkt.

Beliau juga berpengalaman luas di pentas bola sepak antarabangsa kerana pernah bersama skuad Belanda B-20, B-18 dan B-17.

Sekiranya FAM berjaya mendapatkan khidmat pemain itu, sudah tentu ia memberi pilihan tambahan kepada ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk membentuk jentera serangan mantap.