Sudah menjadi keperluan buat setiap pasangan dan keluarga untuk memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah untuk didiami. Meskipun saiznya tidak besar, setidaknya sebuah rumah itu mampu menjadi tempat untuk berteduh serta memudahkan untuk ke tempat kerja.
Dalam pada itu, harga rumah yang semakin meningkat seolah membatalkan hasrat anak muda untuk memiliki hartanah sendiri khususnya di ibu kota.
Baca Juga:
- ‘Begitulah Malaysia Darul Pemurah’ – Netizen Luah Meluat Dengan Rakyat Malaysia Yang Mudah Tertipu
- Bagaimana Tindakan Pantas Usahawan Ini Berjaya Elak Jenamanya Daripada Bankrap
Pihak kerajaan turut memperkenalkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara namun dasar yang diperkenalkan masih belum mampu untuk menyelesaikan isu ini.
Menerusi temu bual Bernama bersama golongan pakar dalam industri hartanah, pihak Bernama cuba menyingkap dengan lebih lanjut isu-isu kegagalan pemilikan hartanah dalam golongan muda pada masa kini.
Lebih selesa membeli kereta yang ‘mahal’
Menurut Dr Mohammad Mujaheed Hassan selaku pensyarah Perancang Bandar dan Wilayah/Pembangunan Komuniti, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia Di Universiti Putra Malaysia (UPM), terdapat faktor lain yang menyumbang kepada isu ini.
Berdasarkan kajian The Variations In Preferences Of Young Generation In Klang Valley Towards Housing Property Demand yang dijalankan di UPM bagi tahun 2022, beliau mendapati anak muda mempunyai komitmen kewangan yang tinggi.
Berdasarkan 2,523 responden berusia 25 tahun hingga 45 tahun di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dengan pendapatan bulanan individu RM4,360 hingga RM9,620, didapati majoriti golongan ini mempunyai komitmen hutang kereta antara RM800 hingga RM1,200 sebulan.
Menurutnya, bagi golongan ini, kereta merupakan kayu ukur kepada pencapaian mereka dan kehidupan. Lebih pelik, terdapat individu daripada golongan ini yang ke tempat kerja menaiki pengangkutan awam sementara kereta ditinggalkan di rumah.
Memiliki kad kredit lebih daripada sebuah bank
Selain itu, 72.7 peratus daripada responden akui mempunyai komitmen kad kredit sekurang-kurangnya daripada dua buah bank.
Memiliki kredit kad dilihat sebagai ‘kewajipan’ buat anak muda untuk dilihat ‘berduit’ dan sebagai wang pendahuluan. Lebih merisaukan, 73.9 peratus daripada responden ini akui tidak mempunyai lebihan wang bagi tujuan simpanan atau pelaburan menerusi gaji yang diterima.
Sehubungan dengan itu, Dr Mujaheed berpendapat golongan ini perlu mengubah mindset daripada memilih untuk berbelanja perkara melibatkan liabiliti berbanding berusaha untuk membeli sekurang-kurangnya satu hartanah.
‘Walaupun tidak salah untuk menyewa, kalau direnungkan harga sewaan yang dibayar seolah membantu pemilik rumah untuk menjelaskan hutang bayaran bank’ ulas Dr Mujaheed yang menyarankan orang ramai membeli rumah berbanding menyewa.
Tambahnya lagi, sekiranya anak muda menangguhkan pembelian rumah, tidak mustahil mereka akan semakin sukar mendapatkan sesebuah kediaman kelak seiring dengan harga hartanah yang semakin meningkat.
Kesannya adalah satu keluarga akan berdepan dengan situasi tidak ada rumah kekal menyewa dari satu generasi ke satu generasi yang lain kerana tidak berharta.