Ketua jurulatih  skuad Gombak TOT United, Qusmaini Noor Rusli memuji semangat juang tinggi dijelmakan anak buahnya ketika menewaskan KL City 5-4 pada aksi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 yang berlangsung di Ortuseight Arena, Kampung Baru malam tadi.

Hakikat itu jelas dapat disaksikan apabila Gombak TOT United yang masih dibelenggu dengan isu tunggakan gaji berjaya bangkit daripada ketinggalan 1-4 untuk mencatatkan kemenangan buat kali kelima pada musim ini.

Baca Juga:

Bukan hanya isu tunggakan gaji tetapi pasukan tersebut juga tidak menjalani sebarang sesi latihan menjelang pertemuan dengan KL City.

Sehubungan dengan itu, Qusmaini tanpa berselindung memandang tinggi jiwa membara anak-anak buahnya untuk melakarkan kemenangan meskipun berdepan pelbagai masalah.

“Saya tetap berpuas hati dan berbangga dengan keputusan akhir perlawanan ini biarpun kami bergelut untuk memperolehi kemenangan,” ujar Qusmaini menurut satu hantaran di laman Facebook peribadi miliknya.

Atasi KL City, Hanya Jiwa & Mentaliti Menang Tunjang Kekuatan Pemain Gombak TOT United - Qusmaini
Qusmaini (hujung kanan) bersama penolong pengurus dan barisan kejurulatihannya.

“Ketiadaan latihan akibat kemudahan gelanggang yang tidak disediakan memang amat besar kelihatannya pada perlawanan semalam.”

“Hanya jiwa dan ‘winning mentality’ sahaja menjadi ‘tangkal’ setelah ketinggalan 1-4 dengan perlawanan hanya berbaki sembilan minit.”

“Elemen psikologi terpaksa diaktifkan bagi merangsang ‘amygdala (fungsi berkaitan pengurusan emosi)’ dan membakar adrenalin mereka.”

“Dua perlawanan terakhir pasti amat mendebarkan buat kami kerana bakal bertemu dua pasukan di tangga teratas (merujuk kepada Johor Darul Ta’zim dan Selangor),” ujar beliau lagi.

Isu tunggakan gaji melibatkan Gombak TOT United dijangka berakhir pada bulan Ogos apabila pengurus pasukan, Haris Fazilal Ahmad mendedahkan bahawa pengurusan kelab akan menguruskan proses pembayaran gaji bermula minggu ini.

“Kami memang komited hendak bayar gaji kepada semua (pemain, kejurulatihan dan pegawai pasukan). Mungkin dalam minggu ini kita akan uruskan (pembayaran gaji) sebab kita tahu tanggungjawab kita.”