Dalam usaha untuk melindungi pengguna dan mengekalkan integriti jenamanya, Cheetah Malaysia, sebuah syarikat fesyen terkemuka yang menghasilkan jersi Kelab Bola Sepak Perak, meningkatkan usaha memerangi keluaran jersi tiruan.
Peningkatan jual beli atas talian dan permintaan serta penghasilan produk tiruan mendorong Cheetah mengambil tindakan tegas dengan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor untuk mengenal pasti dan membongkar operasi cetak rompak.
Baca Juga:
- Perak Lancar Jersi ‘Home’ Musim 2024/25, Dilengkapi Kod QR Untuk Daftar Sebagai Pemilik
- Perak Keluarkan Jersi Ketiga Dengan Sentuhan Warna ‘Turquoise’
- Mengenang ‘Jiwa Pejuang’ Brendan Gan Bangkit Melawan Dugaan Hebat Dalam Karier
Cheetah, dalam taklimat secara kolektif bersama pegawai kanan daripada KPDN Selangor dan Perak FC, berkata dengan berkongsi maklumat dan kerjasama dengan pihak berkuasa, syarikat itu berhasrat untuk mengekang perdagangan barangan tiruan.
Cheetah sedang mempergiatkan usahanya untuk mengesan dan mencegah barangan tiruan, memantau secara aktif di pasaran atas talian, platform media sosial serta bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha.
Syarikat itu juga telah mendapatkan khidmat peguam untuk membawa pesalah ke muka pengadilan dan melindungi hak harta inteleknya.
TraX, kod QR unik yang telah ditampal di setiap jersi oleh Cheetah memastikan pelanggan membeli dan mendapatkan barangan yang tulen.
Jenama tempatan itu turut percaya bahawa pengguna yang berpengetahuan lebih bersedia untuk mengenal pasti produk tulen dan sedang merancang untuk melancarkan kempen pendidikan untuk meningkatkan kesedaran tentang risiko yang berkaitan dengan barangan tiruan dan memberikan petua tentang cara mengesannya.
Pengguna digalakkan untuk melaporkan sebarang produk yang mencurigakan yang mengandungi label Cheetah kepada khidmat pelanggan syarikat atau melalui laman web rasminya.