Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bercadang mengambil pemain naturalisasi bagi memperkuatkan pasukan bola sepak wanita negara pada masa yang akan datang.

Perkembangan itu didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob yang tidak menolak kemungkinan mengikut jejak langkah skuad lelaki yang mengambil pemain naturalisasi.

Baca Juga:

“Kita sedang mencari, tetapi belum jumpa (pemain yang bersesuaian). Malah, kita tiada pencari bakat yang pakar untuk (pemain) wanita dan ia tidak mudah, bukan macam mencari (pemain) lelaki.

“Jadi, saya seru andai sesiapa yang ada pencari bakat untuk cari pemain wanita yang kita boleh naturalisasikan, boleh ke depan dan kita akan usulkan kepada Setiausaha Agung FAM (Datuk Noor Azman Rahman),” katanya dalam Arena Metro.

Beberapa negara di Asia seperti Filipina sudah melaksanakan kaedah itu dengan mengesan pemain keturunan berkualiti di luar negara sehingga mereka berjaya layak ke Piala Dunia.

Kehadiran pemain naturalisasi atau berdarah kacukan dilihat mampu memperkasakan pasukan Malayan Tigress.

Skuad Harimau Malaya sendiri pernah diperkuatkan oleh 8 pemain naturalisadi yang dipanggil oleh ketua jurulatih, Kim Pan-Gon setiap kali ada tugasan antarabangsa.

Antaranya Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula, Liridon Kransiqi, Lee Tuck, Sergio Aguero, Endrick dos Santos, Paulo Josue dan Romel Morales.

Selain naturalisasi, Harimau Malaya turut diperkuatkan dengan beberapa pemain kacukan berkualiti seperti Dion Cools, Corbin Ong, Brendan Gan, Matthew Davies, Stuart Wilkin dan ramai lagi.