Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Dr. Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, salah satu jawatan utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.
Dr. Craig merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Performance Intelligence Agency selama 15 tahun sejak dari 2009 hingga kini yang mana beliau turut pernah menjadi Ketua Sains Sukan di Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) selama empat tahun dari 2014 hingga 2018.
Selain itu, Dr. Craig turut merupakan Pensyarah Kanan Senaman dan Sains Sukan di Australian Catholic University (ACU) sejak 2013 hingga kini yang mana beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan dan Senaman dari University of Sydney dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dari Deakin University.
Baca Juga:
- Rob Friend Dilantik Sebagai CEO Harimau Malaya
- Peter Cklamovski, Nafuzi Zain Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Baharu Malaysia
- Josh Brownhill Nafi Ada Pertalian Dengan Malaysia
Berdasarkan pengalaman luas dan kepakaran beliau dalam bidang prestasi manusia, tugas Dr. Craig di FAM sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan adalah bertanggungjawab dalam mengetuai hal-hal berkaitan prestasi tinggi, kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan, pemakanan dan psikologi sukan serta pembangunan kakitangan.
Siaran Media: FAM Umum Nama Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan
FAM mengumumkan Dr. Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan.
▶️ Baca penuh di https://t.co/UPiyZy7d58#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/OQD0QSzcaz
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) January 2, 2025
Dr. Craig bekerja dengan Sydney FC apabila mereka memenangi kejuaraan Liga-A, dengan Western Sydney Wanderers apabila mereka menjadi pasukan Australia pertama memenangi Liga Juara-Juara Asia pada 2014, dengan pasukan NSW untuk menamatkan kemarau kejuaraan pada siri State of Origin pada 2014 dan 2018, serta dengan Socceroos apabila mereka muncul juara Piala Asia pada 2015.
Selain itu, Dr. Craig turut menyelia program prestasi tinggi pasukan kebangsaan Iran apabila mereka mara ke separuh akhir Piala Asia 2019.
“Di FAM nanti, Dr. Craig telah meletakkan Visi bagi mewujudkan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia untuk sains sukan dan perubatan sukan, membolehkan pasukan senior, junior dan wanita kebangsaan mencapai kejayaan yang berterusan sambil memupuk budaya prestasi tinggi di semua peringkat bola sepak di Malaysia.
“Bagi Misi pula, Dr. Craig mahu mengintegrasikan amalan sains sukan dan perubatan termaju merentas semua pasukan kebangsaan dan liga bola sepak Malaysia, meningkatkan prestasi pemain, pemulihan dan daya tahan melalui protokol piawai, program pendidikan dan teknologi termaju.
“Dengan semua perancangan ini diharap ianya mampu untuk menyediakan pasukan kebangsaan kita dengan tahap kesediaan fizikal dan taktikal yang terbaik, selain aspek berkaitan prestasi tinggi menjadi keutamaan dalam bola sepak Malaysia. Dr. Craig akan memulakan tugasan secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Januari 2025,” dipetik dari kenyataan dikeluarkan FAM.