Keputusan pasukan Futsal lelaki Negeri Sembilan tidak menyertai SUKMA 2026 di Selangor mengundang rasa kecewa dalam kalangan pemain dan penyokong.
Keadaan yang jelas tidak baik buat perkembangan futsal di Negeri Sembilan itu menyebabkan beberapa pemain tampil berkongsi luahan mereka di media sosial.
Menerusi perkongsian di Threads seperti dilaporkan laman Facebook Nogori Supporters, pemain mendakwa mereka sanggup menggunakan wang sendiri, berulang-alik dari luar Negeri Sembilan dan mengorbankan masa demi peluang membawa nama negeri di pentas SUKMA.
Seorang pemain turut mendakwa pasukan hanya mula menjalani latihan sekitar dua minggu sebelum Pra-SUKMA dan berdepan pelbagai kekangan sepanjang tempoh persiapan.
“Kami memang tak capai kelompok empat terbaik masa Pra-SUKMA, tapi dua minggu sebelum Pra-SUKMA baru diberi latihan. Kesian dekat jiwa besar pemain yang sanggup berjuang atas nama Negeri Sembilan tanpa mengharapkan apa-apa balasan,” luah pemain tersebut.
Malah, pemain berkenaan menyifatkan keputusan tidak menyertai SUKMA sebagai sesuatu yang menghancurkan impian mereka selepas segala pengorbanan yang dicurahkan.
PBNS Tampil Perjelas Alasan Negeri Sembilan Tak Sertai SUKMA 2026
Bagaimanapun, Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) menjelaskan keputusan tersebut bukan dibuat secara tiba-tiba.
Menurut PBNS, Negeri Sembilan United (NSU) telah diberikan mandat menguruskan Pasukan Futsal Lelaki Negeri Sembilan, termasuk aspek pemilihan pemain, latihan dan persediaan pasukan.
“Untuk makluman semua, keputusan berkaitan penyertaan Pasukan Futsal Lelaki Negeri Sembilan ke SUKMA 2026 bukan dibuat secara tiba-tiba atau pada saat akhir.”
“PBNS telah menetapkan lebih awal bahawa pembentukan dan persediaan pasukan futsal Negeri Sembilan bagi menghadapi SUKMA 2026 diuruskan oleh dua entiti berbeza.”
“Negeri Sembilan United (NSU) diberikan mandat untuk menguruskan Pasukan Futsal Lelaki Negeri Sembilan manakala Nilai City Futsal Club diberikan mandat untuk menguruskan Pasukan Futsal Wanita Negeri Sembilan.”
“Sehubungan itu, proses pemilihan pemain, latihan, penyertaan pertandingan serta persediaan pasukan lelaki dilaksanakan oleh NSU sebagai pasukan yang diberikan tanggungjawab tersebut.”
“Dari segi prestasi, Negeri Sembilan United (NSU) yang diberi mandat membentuk pasukan futsal lelaki Negeri Sembilan menamatkan saingan MPFL Divisyen 2 musim 2025 di kedudukan ke-10 keseluruhan.”
“Dalam siri perlawanan persahabatan menjelang SUKMA, pasukan turut mencatat keputusan: kalah 0-10 kepada Johor SUKMA, kalah 0-7 kepada JDT dan kalah 4-10 kepada KPTM Bangi.”
“Sebagai peluang tambahan penilaian, pasukan juga menyertai Johor Futsal Invitation Cup 2026 dan menamatkan kejohanan di kedudukan ke-6 daripada 6 pasukan dengan keputusan: seri 3-3 vs Wilayah Persekutuan, kalah 4-7 vs Johor, kalah 4-9 vs Sarawak, kalah 0-4 vs Pahang dan kalah 0-4 vs Sabah.”
“Berdasarkan penilaian terhadap prestasi dan tahap daya saing semasa pasukan, MSN telah memaklumkan keputusan awal pada 19 Mei 2026 bahawa penyertaan Pasukan Futsal Lelaki Negeri Sembilan ke SUKMA XXII Selangor 2026 tidak diluluskan.”
“Walau bagaimanapun, PBNS melalui Jawatankuasa Futsal masih mengemukakan rayuan kepada MSN untuk pertimbangan lanjut.”
“Rayuan tersebut telah diteliti oleh MSN sebelum keputusan muktamad dikeluarkan pada 15 Jun 2026 yang mengekalkan keputusan tidak meluluskan penyertaan pasukan.”
“Justeru, keputusan ini adalah berdasarkan proses penilaian prestasi yang telah berlangsung dalam tempoh yang panjang serta pertimbangan yang dibuat oleh MSN mengikut kriteria yang telah ditetapkan lebih awal.”
Pendedahan itu jelas mengecewakan pemain serta penyokong Negeri Sembilan untuk melihat skuad kendalian Aidil Idruan bin Idrus untuk turut sama bersaing di Shah Alam pada Ogos nanti.
Sebagai rekod, Negeri Sembilan merupakan naib juara edisi 2011 selepas tewas 0-1 kepada Johor di perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Shah Alam.
Manakala, dua edisi seterusnya pada 2013 (Kuala Lumpur) dan 2018 (Perak), perjuangan mereka terkandas di peringkat kumpulan.