Johor memulakan kempen SUKMA 2026 acara futsal dengan nota kemenangan selepas menang selesa 5-1 ke atas Terengganu pada aksi kumpulan C yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Shah Alam, petang tadi.

Skuad kendalian Khairul Amir Hamzah itu pada mulanya kelihatan bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik mereka hingga menyebabkan Terengganu lebih banyak mencipta serangan berbahaya.

Namun penjaga gol Johor, Muhammad Izham Zulkifli beraksi cukup cemerlang untuk menggagalkan percubaan berbahaya oleh pasukan Terengganu.

Gol pembukaan Johor terhasil pada minit ke-13 apabila percubaan kaki kiri Adam Izz Wazif Muhammad Azhar terkena palang lalu bola membias terkena Ahmad Hazieq Danial.

Futsal SUKMA 2026: Johor, Sabah Cemerlang Di Aksi Pembukaan
Kredit Foto: Terminal Foto

Tersentak dengan jaringan tersebut, Ahmad Azry Syahmie menyamakan kembali kedudukan pada minit ke-19 untuk aksi di babak pertama berakhir dengan terikat 1-1.

Bagaikan mendapat tonik berguna pada waktu rehat, Johor tampil garang untuk menambah jaringan dengan Adam Izz Wazif sekali lagi meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-21.

Johor kemudiannya menambah tiga lagi jaringan menerusi Muhammad Syazwi Sulaiman (minit ke-29), Muhammad Syaifullah Sulaiman (minit ke-35) dan Abdul Aiman Syahmi pada minit ke-39 untuk melengkap kemenangan 5-1.

Sementara itu, Sabah turut bermula dengan langkah kanan  selepas membelasah pemenang pingat gangsa edisi lalu, Perak 6-0 dalam aksi kumpulan B.

Futsal SUKMA 2026: Johor, Sabah Cemerlang Di Aksi Pembukaan
Kredit Foto: Terminal Foto

Anak buah Abdul Hamid Noor itu membuka tirai jaringan menerusi Amirul Fadzly Iyskandar pada minit ke-13.

Perubahan taktikal ketika bertahan yang dilakukan pada babak kedua jelas menjadi kunci utama buat Sabah untuk memberikan kesukaran buat Perak pada baki 20 minit permainan hingga menyebabkan pemain mereka hilang idea untuk mencipta serangan.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Sabah untuk menghukum lawan dengan menambah lima jaringan menerusi Muhammad Alias Abdullah (minit ke-22 dan 27), Adzman Jiril (minit ke-26 dan 35) serta  Mohamad Adziyyan Ahlihin Zaidi pada minit ke-39.

Berikut merupakan keputusan penuh perlawanan hari pertama bagi acara futsal SUKMA 2026:

SUKMA 2026

Lelaki

Kumpulan A 

Wilayah Persekutuan 1-1 Kelantan

Kumpulan B

Sabah 6-0 Perak

Kumpulan C

Johor 5-1 Terengganu

Kumpulan D

Pulau Pinang 2-1 Melaka

Wanita

Kumpulan A

1) Pahang 4-2 Sarawak

2) Pulau Pinang 4-1

Kumpulan B 

1) Selangor 5-2 Sabah

2) Wilayah Persekutuan 4-2 Kelantan