Juara Liga Super 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima habuan berjumlah RM2.4 juta berdasarkan sistem pengagihan 2023-2025 yang diperkenalkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada bulan Mac lepas.

Pengenalan sistem agihan berasaskan merit itu turut membolehkan lima lagi pasukan dalam kelompok enam teratas meraih habuan lebih RM1 juta.

Baca Juga:

Sistem agihan pendapatan berasaskan merit daripada hasil pendapatan MFL tahun ini mengikut kedudukan teratas sehingga kelab yang berada di tempat ke-14 Liga.

Selangor yang muncul naib juara Liga Super meraih habuan sebanyak RM1.9 juta manakala Sabah turut menerima RM 1.5 juta selepas menewaskan Kedah dalam perebutan tempat ketiga semalam.

Malah, Kelantan yang menduduki kedudukan paling rendah juga membawa pulang sekurang-kurangnya RM600,000 berbanding hanya RM250,000 pada tahun lalu.

Sistem pengagihan kepada 14 kelab Liga Super 2023 ini menyaksikan peningkatan sebanyak lebih 96.55 peratus iaitu RM15.675 juta berbanding RM7.975 juta yang diagihkan kepada 14 kelab yang sama musim lalu.

Ia mendorong setiap kelab untuk berusaha mencapai prestasi terbaik sehingga akhir musim kerana setiap kedudukan di dalam Liga mempunyai nilai ganjaran.

Pada tahun 2021-2022, susulan kesan pandemik COVID-19 yang melanda, agihan dilakukan berdasarkan dua asas iaitu agihan sama rata sebanyak RM500,000 kepada setiap kelab Liga Super dan RM250,000 bagi Liga Perdana selain hanya kelab yang berada di kedudukan tiga teratas Liga Super atau Liga Perdana akan memperoleh hadiah wang tunai tambahan.

Bagi tahun 2023, MFL menyediakan mekanisme agihan yang akan melihat semua pasukan mengetahui dengan jelas peningkatan pulangan mereka berdasarkan kedudukan di tangga liga.