Bintang Chelsea, Cole Palmer bukan sahaja mencuri perhatian di atas padang berbekalkan kemampuan hebatnya ketika beraksi, malah kini mula mengorak langkah sebagai usahawan.
Hal ini kerana pemain berusia 24 tahun itu telah melancarkan perniagaan dengan memperkenalkan jenama ais premium miliknya yang dikenali sebagai Cole’d.
Cole’d menawarkan beberapa jenis ais termasuk ais berbentuk bola sepak, ais tradisional dan ais berbentuk batu kerikil yang diperkaya elektrolit yang kesemuanya dihasilkan menggunakan air yang ditulenkan (purified).
Idea tersebut sebenarnya lahir daripada gelaran popular ‘Cold Palmer’ yang diberikan oleh peminat susulan sikap tenangnya ketika beraksi dan meraikan jaringan dengan selebrasi ikonik seolah-olah sedang menggigil kesejukan.
Menurut Palmer, pada awalnya dia sukar mencari produk yang benar-benar sesuai untuk dikaitkan dengan nama serta identitinya.
“Pada mulanya saya cuba fikirkan sesuatu yang sesuai dengan nama dan gaya saya meraihkan jaringan, tetapi saya tidak mendapat idea.”
“Dalam satu mesyuarat, ada rakan mencadangkan ‘ice’ (ais). Ia sangat mudah tetapi terus masuk akal,” katanya menurut sumber laporan The Times.
Palmer menjelaskan dia bukan sekadar menjadi wajah kepada produk tersebut, sebaliknya terlibat secara langsung dalam pembangunan jenama berkenaan termasuk reka bentuk pembungkusan, logo dan produk itu sendiri.
Katanya lagi, kejayaan jenama itu juga adalah hasil sokongan peminat yang terlebih dahulu mencipta gelaran ‘Cold Palmer’.
“Ia bermula daripada peminat. Mereka yang memanggil saya ‘Cold Palmer’, jadi saya jadikannya satu produk yang boleh dikongsi bersama semua orang.”
Sambutan Menggalakkan
Cole’d menerima sambutan positif apabila produk itu habis dijual sejurus dilancarkan di London dan Manchester.
View this post on Instagram
“Saya suka bagaimana rupa ais itu dan seronok dapat melakukan sesuatu yang berbeza.”
“Memang menarik melihat ia habis dijual di London dan Manchester, dua tempat yang sangat bermakna buat saya.”
“Saya juga suka membayangkan orang ramai menggunakannya ketika cuaca panas seperti sekarang dan sudah tentu ketika menonton bola sepak,” katanya.
Cole Palmer Minat Berniaga Sejak Kecil
Menariknya, minat Palmer terhadap dunia perniagaan bukanlah sesuatu yang baharu.
Pemain sayap itu mendedahkan dia sudah mula berniaga ketika masih bersekolah semata-mata untuk mendapatkan wang saku tambahan.
Cole Palmer membeli beberapa pek minuman sukan dan gula-gula sebelum menjualnya semula kepada rakan-rakan sekolah dengan sedikit keuntungan. Namun, strategi paling kreatifnya muncul ketika cuaca panas.
Beliau akan meletakkan minuman tersebut di dalam peti sejuk beku sehingga menjadi sedikit ‘separa beku’ sebelum menaikkan harganya daripada £1 kepada £1.50.
“Saya akan cakap, ‘Hari panas macam ini, nak yang sejuk? Harganya £1.50. Kalau tak, ambil yang biasa, £1 sahaja.’
“Itulah cara saya berniaga ketika di sekolah,” katanya sambil ketawa.
Pendedahan itu menunjukkan naluri keusahawanan Palmer sudah wujud sejak usia muda lagi dan kini diterjemahkan ke dalam sebuah jenama yang dibina berasaskan identiti serta popularitinya sendiri.
Dengan Cole’d, Palmer membuktikan bahawa pengaruh seseorang atlet bukan sahaja boleh dimanfaatkan di atas padang, malah mampu berkembang menjadi sebuah jenama perniagaan yang mempunyai nilai komersial tersendiri.