Penyerang import Kuala Lumpur City, Kipre Tchetche telah mencapai persetujuan dengan kelabnya untuk menamatkan kontrak dengan lebih awal dan membolehkan beliau untuk kembali ke negaranya.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Stanley Bernard yang mana Kipre perlu menguruskan masalah keluarga dimana bapanya sakit ketika ini.
Baca Juga:
- Kipre Tchetche Beraksi Di Malaysia Hanya Gunakan Visa Pelancong
- ‘Bayar Mahal Duduk Di Tangga, Keselamatan Diabaikan’ – Peminat Kritik MFL Dan PSM
- MFL Sudah Terima Dokumen Perlesenan Kelab Dari TRW Kelantan
Dalam masa yang sama, pemain berusia 35 tahun itu menyatakan isu permit kerja yang dibangkitkan sebelum ini sudah berlalu di mana dia bersama pasukannya sudah mencapai persetujuan.
“Kelab dan saya sudah menemui persetujuan, membiarkan pintu terbuka untuk potensi saya kembali. Laporan mengenai isu permit kerja adalah kisah lalu dan KL City sudah melakukan tanggungjawab mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sebelum ini, peguam yang mewakili Kipre Tchetche, Syed Nur Aiman Syed Abdul Hamid menegaskan pemain itu beraksi di Liga Malaysia hanya menggunakan visa pelancong dan tidak mempunyai permit kerja yang sah.
“KL City tidak pernah menyempurnakan permit kerja buat Kipre Tchetche, jadi bermakna beliau selama ini tidak tahu dia bermain atau bekerja di sini tanpa permit kerana ia diuruskan sepenuhnya pengurusan kelab,” katanya.
Selain itu, KL City juga tidak membayar gaji Kipre dari bulan September, Oktober dan November dan pemain itu sudah menghantar notis untuk menamatkan kontrak dengan lebih awal.
Menurut Syed, jumlah keseluruhan tunggakan hampir mencecah setengah juta ringgit dan beliau akan membawa isu ini ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi memastikan pemain dari Ivory Coast itu mendapat haknya.