Isu tunggakan gaji bukanlah perkara asing buat pasukan bola sepak tanah air walaupun beraksi di peringkat tertinggi seperti Liga Super.

Difahamkan, Perak yang sebelum ini dilihat seperti tidak berdepan masalah kewangan juga turut dipalit dengan gejala buruk kian membarahi bola sepak tempatan tersebut.

Baca Juga:

Malah, permasalahan ini sudah bermula sejak Mei 2024 dimana barisan pemain serta barisan kejurulatihan skuad Liga Super dan Piala MFL Perak hanya menerima separuh gaji.

Beberapa ‘hint’ ruangan komen di laman Facebook Perak FC juga memperlihatkan terdapat luahan daripada penyokong yang bercakap tentang isu tunggakan gaji ini.

Memetik salah satu komen daripadanya penyokong yang berbunyi, ”Terima kasih terima kasih juga, tapi gaji pemain bayarlah. Dah dari bulan Mei 2024 gaji separuh je.”

“Pemain ada tanggungan juga dan komitmen. Jangan kerana nak dapat nama pemain jadi hamba. Klusa dalam kontrak pun mcm tak berfungsi”

Walaupun menerima separuh daripada gaji mereka, jumlah terkumpul yang tertunggak dikatakan sudah memasuki lima bulan buat skuad Liga Super manakala bagi Piala MFL selama enam bulan.

Lebih perit untuk diperkatakan dengan tarikh yang sudah memasuki 10 April, keseluruhan gaji untuk bulan Mac juga masih belum diterima.

Menyambut hari raya aidilfitri tanpa pembayaran gaji memang satu perkara yang cukup sukar untuk dihadapi barisan pemain tersebut.

Walaupun berdepan kesukaran ekoran permasalah tersebut, barisan pemain masih mampu beraksi baik dengan dua kemenangan, tiga keputusan seri dan satu kekalahan pada enam aksi terakhir dalam kempen Liga Super 2024/25.

Namun, ia bukanlah tiket buat pengurusan tertinggi Perak untuk terus menerus bersikap membisu dan membiarkan nasib barisan kejurulatihan dan para pemain terumbang-ambing dengan isu seperti ini.

Perak pernah mengalami masalah tunggakan gaji yang teruk pada 2008 sebaik sahaja pertukaran kerajaan negeri manakala perkara tersebut berulang lagi ketika transisi penswastaan pada 2021 hingga menyebabkan skuad Yob turun ke Liga Premier buat pertama kali dalam sejarah.