Gombak TOT United meraih kemenangan kedua dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 selepas berjaya menundukkan Terengganu 4-2 pada aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.

Masih segar dengan kemenangan ke atas Sabah pada aksi minggu lalu, ia jelas menjadi tonik berguna buat skuad kendalian Qusmaini Noor Rusli itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ia jelas dibuktikan dengan banyak percubaan berbahaya dilancarkan barisan pemain Gombok TOT United yang turut lebih menguasai permainan.

Usaha tuan rumah membuahkan hasil pada minit ke-10 apabila Muhd Nursyafiq Madselan menolak masuk bola susulan lorongan cantik dilakukan pemain import, Luan Feitosa Gomes.

Kedudukan berubah empat minit kemudian selepas tolakan Guntur Sulistyo Ariwibowo ketika susulan sepakan percuma dihadapan pintu gol Terengganu membias terkena kaki Muhammad Alif Mat Amin lalu bola bergolek masuk ke gawang sendiri.

Terengganu berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-16 menerusi serangan balas pantas yang disudahkan dengan tenang ketua pasukan, Syed Shahrul Niezam Syed Abdul Rahim.

Kegembiraan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan dua minit sahaja setelah Guntur menjadikan kedudukan 3-1 ketika beliau tidak dikawal pemain lawan.

Syed kembali memberikan tentangan buat Gombak TOT United pada minit ke-24 apabila beliau tidak berdepan masalah menyempurnakan peluang terhidang.

Jaringan yang meningkatkan moral barisan pemain Terengganu untuk memburu satu lagi jaringan sekali gus bagi mengikat kedudukan.

Namun, tekanan yang diberikan anak buah Mohd Rozairi Ahmad itu tidak menggentarkan para pemain Gombak TOT United.

Sebaliknya, Guntur mengesahkan kemenangan 4-2 selepas beliau menolak masuk bola hasil hantaran dilakukan Muhammad Syarifuddin Md Akhir untuk membolehkan Gombak TOT United mematikan api perjuangan Terengganu.