Pahang Rangers meraih kemenangan sulung dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 selepas berjaya menundukkan Selangor 8-4 pada aksi yang berlangsung di Kompleks SUKPA, Kuantan sebentar tadi.

Anak buah Gerard Casas Ullestre itu tidak menunggu lama untuk berada dihadapan apabila Murilo Carlos Saad meledakkan jaringan pembukaan seawal minit pertama.

Baca Juga:

Tuan rumah menggandakan jaringan berselang dua minit kemudian menerusi Felipe De Souza yang menguis masuk sepakan penjuru Ahmad Harith Na’im Mohd Nasir.

Pahang Rangers terus garang pada minit keempat dengan jaringan ketiga oleh Muhammad Amirul Khairuddin pantas menyambar hantaran dilakukan Akmarulnizam Idris.

Memasuki minit ke-11, giliran Hamdin Zharif Mahmun pula mengukuhkan kedudukan buat juara bertahan itu hasil ledakan padu daripada luar kawasan D.

Selangor turut mendapat beberapa peluang terbaik pada babak pertama tetapi penyudah tumpul menggagalkan usaha anak buah Edgar Eder Baldasso itu.

Selangor yang memainkan taktikal ‘Powerplay’ sebaik sahaja aksi kembali bersambung berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-23 menerusi Syahir Iqbal Khan Akhbar Khan.

Dua minit kemudian, percubaan Wellington Pereira Rodrigues Adao pula sekadar singgah di palang gol Pahang Rangers ketika Zainulzahin Sinuan sudah tidak mampu berbuat apa-apa bagi menyelamatkan gawangnya.

Khairul Effendy Bahrin menjaringkan gol kedua buat Selangor pada minit ke-26 hasil rembatan tonjol kaki kiri diledakkannya.

Momentum baik itu gagal diteruskan oleh barisan pemain Selangor dimana Pahang Rangers menambah gol kelima menerusi Felipe untuk jaringan kedua peribadinya pada perlawanan ini, seminit kemudian.

Hamdin turut mencipta gol kedua beliau pada minit ke-30 dan Felipe melengkapkan hatriknya pada minit ke-32 susulan sepakan penalti kedua (Second Spot) yang diambilnya tidak mampu diselamatkan penjaga gol gantian Selangor, Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln.

Aksi semakin menarik dengan Selangor pula cuba merapatkan kembali kedudukan pada minit ke-35 berpunca daripada percubaan terus ketika situasi powerplay.

Masih belum cukup dengan dua golnya, Hamdin turut mencipta hatrik selepas beliau mengambil kesempatan di atas kesilapan pemain Selangor sewaktu melakukan serangan menerusi taktikal powerplay pada minit ke-38.

Matheus membutirkan satu lagi jaringan seminit kemudian untuk Pahang Rangers meraih tiga mata penuh dengan kemenangan 8-4.

Minggu lalu juara berganda itu seri 6-6 bertemu Shah Alam City manakala ia merupakan kekalahan kali kedua berturut-turut buat Selangor yang sebelum ini tewas kepada Sabah 2-3 di Shah Alam.