Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mengambil langkah proaktif bagi menangani isu-isu dihadapi Kontinjen Malaysia untuk temasya Sukan Asia 2026 ketika atlet-atlet negara mula tiba di Aichi dan Nagoya sejak beberapa hari lalu.

Perkara tersebut disahkan MSN dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

MSN
Kredit foto: Olympic Council of Malaysia (OCM)

MSN Ambil Langkah Pantas

Isu jumlah penginapan tidak mencukupi yang dihadapi beberapa negara turut mengganggu atlet karate yang dijadual tiba pada Khamis di Nagoya dan ianya diselesaikan setelah sekretariat MSN membayar kos bilik tambahan di hotel penginapan rasmi untuk lima orang atlet yang tidak disediakan bilik penginapan.

Penganjur juga belum memberi pengesahan bilik penginapan 16 orang atlet dan pegawai skuad memanah negara ketika ini.

Untuk mengelakkan fokus atlet terganggu, MSN telah membuat tempahan 11 bilik di hotel berasingan dan akan membayar kos itu termasuk kos pengangkutan ke venue pertandingan sekiranya penganjur tidak memaklumkan status penginapan apabila mereka tiba pada 24 September nanti.

Setakat ini, atlet-atlet dan pegawai daripada sukan bola keranjang wanita, kriket wanita, ekuestrian dan pasukan hoki lelaki dan wanita telahpun tiba di Aichi, Nagoya dan Tokyo dan semua mereka telahpun disediakan penginapan oleh penganjur.

Selain itu, setiap atlet negara juga dibekalkan dengan baju hujan ekoran daripada keadaan cuaca tidak menentu terutama hujan lebat sejak beberapa hari di Aichi dan Nagoya ketika ini.

Sekretariat juga menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Keselamatan untuk atlet, selain SOP Keselamatan Bencana Alam yang disediakan oleh penganjur.

Pegawai-pegawai MSN di Aichi dan Nagoya juga telah berhubung dengan penganjur untuk memastikan setiap hidangan sajian untuk atlet-atlet negara disahkan halal dan jaminan itu diberikan untuk atlet-atlet yang menginap di Perkampungan Sukan dan hotel-hotel rasmi.

Walau bagaimanapun, sekretariat ada membawa bekalan makanan ‘ready to eat’ sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ada atlet yang memerlukannya dan menangani risiko keracunan makanan sekiranya atlet terpaksa mengambil makanan daripada luar.

MSN juga menjangkakan pengangkutan atlet ke venue pertandingan bakal menimbulkan masalah dan telah menyediakan solusi dengan mengenalpasti pembekal perkhidmatan pengangkutan yang boleh ditempah untuk kegunaan atlet-atlet negara.

MSN Ambil Langkah Proaktif Tangani Isu Penginapan Dan Pengangkutan Atlet Malaysia Di Sukan Asia 2026
Kredit foto: Olympic Council of Malaysia (OCM)

Isu itu telah dibangkitkan ketika mesyuarat ketua-ketua kontinjen, semalam, dengan terdapat kontinjen terpaksa menunggu sehingga 40 minit sebelum disediakan pengangkutan untuk ke venue pertandingan.

MSN juga mengingatkan semua atlet untuk sentiasa memaklumkan kepada pengurusan pasukan jika ada sebarang isu yang boleh mengganggu fokus dan persiapan mereka supaya ianya dapat dirujuk oleh sekretariat kepada penganjur bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Sumber