Liga Perdana Inggeris (EPL) membuat keputusan mengejut apabila melantik Anthony Taylor sebagai pengadil utama perlawanan tumpuan iaitu Manchester United menentang Liverpool pada hari ahad ini.

Tindakan itu dikritik oleh penyokong Liverpool yang mendakwa pengadil tersebut agak berat sebelah khususnya membabitkan Manchester United.

Baca Juga:

Taylor cukup terkenal dengan mutu pengadilan yang teruk dan sering membuat keputusan kontroversi setiap kali mengadili perlawanan besar.

Tiga minggu selepas tewas 4-3 dalam masa tambahan aksi Piala FA, Liverpool akan bertandang ke Old Trafford sekali lagi untuk mengukuhkan kedudukan teratas bagi memburu gelaran juara EPL pertama selepas empat tahun.

Berdasarkan rekod, United menang 2-1 di Old Trafford musim lalu dan mengikat Liverpool di Anfield pada Disember.

Sebahagian penyokong Liverpool percaya pelantikan Taylor akan lebih menyukarkan tugasan mereka, memandangkan pengadil berusia 45 tahun itu berasal dari Greater Manchester.

Taylor dilahirkan di Wythenshawe, selatan Manchester, yang turut merupakan tempat asal Marcus Rashford, Cole Palmer dan Tyson Fury.

Bagaimanapun kali terakhir Taylor mengadili perlawanan antara United dan Liverpool, anak buah Klopp membelasah seteru mereka itu 5-0 di Old Trafford pada Oktober 2021.

Musim ini Taylor mengadili perlawanan ketika Liverpool seri 1-1 menentang Chelsea di Stamford Bridge dan keputusan seri 2-2 di Brighton pada Oktober apabila dia memberikan sepakan penalti kepada The Reds.

Taylor turut memberikan Liverpool dua sepakan penalti ketika kemenangan 4-2 ke atas Newcastle di Anfield pada Tahun Baru, tetapi melayangkan kad merah kepada The Reds ketika kekalahan 3-1 kepada Arsenal pada Februari.

Dia turut mengadili perlawanan ketika kekalahan 3- 1 United di Emirates pada September dan kemenangan 2-0 mereka di Wigan dalam aksi Piala FA pada Januari.