Ketua jurulatih skuad futsal Malaysia, Rakphol Sainetngam melihat kejohanan jemputan NSDF 2024 yang bakal disertai pada 24 hingga 28 Mac ini mampu menjadi pentas terbaik buat barisan anak buahnya dalam mempersiapkan diri menjelang Kejuaraan Futsal ASEAN 2024.

Selepas gagal mara ke Piala Futsal AFC 2024 susulan hanya berada di tempat ketiga peringkat kumpulan pusingan kelayakan pada November tahun lalu, malam tadi merupakan kali pertama barisan pemain negara kembali menjalani sesi latihan pusat.

Baca Juga:

Dengan hanya tempoh seminggu menjalani sesi latihan, skuad negara akan berdepan dengan Thailand, Afghanistan dan Australia dalam kejohanan yang akan berlangsung di Nonthaburi itu.

Selepas kejohanan jemputan tersebut, skuad futsal Malaysia akan kembali ke tanah air dan kemudiannya berlepas ke Ho Chi Minh (5 April) untuk dua perlawanan persahabatan bertemu Vietnam yang dijadualkan berlangsung pada 6 dan 8 April.

Malah, keempat-empat negara yang berada di ranking lebih baik berbanding Malaysia itu dalam persiapan terakhir untuk menghadapi Piala Asia Futsal yang turut dijadualkan berlangsung di Bangkok.

Melihatkan kepada peluang beraksi menentang kesemua pasukan tersebut, Rakphol menganggap ia mampu menjadi persiapan yang baik buat skuad kendaliannya.

Barisan pemain yang terpilih. Kredit Foto: FAM

“Bagi Malaysia, kami sudah lima bulan tidak mempunyai sebarang perlawanan antarabangsa, sejak Kelayakan Piala Asia Futsal tahun lalu dimana saya masih mengekalkan hampir seratus peratus pemain sama.”

“Hanya 2 bekas pemain yang beraksi dalam saingan liga dipanggil masuk. Walaupun kembali kurang dalam tempoh seminggu, semua pemain cukup komited terhadap skuad baharu ini.”

“Sesuatu yang baik dapat bertemu dengan pasukan-pasukan terkemuka Asia, semuanya layak ke pusingan akhir Piala Asia.”

“Semoga barisan pemain terpilih ini dapat memberikan aksi antarabangsa yang baik menjelang Kejuaraan Futsal ASEAN tahun ini, termasuk Sukan SEA, Sukan Dalam Dewan pada tahun hadapan.”

“Selepas empat perlawanan di Thailand, kami akan mengadakan dua lagi perlawanan pemanas badan menentang Vietnam,” ujar Rakphol Sainetngam menurut laporan dikeluarkan Futsal Thailand.