Skuad futsal Sabah yang kini berwajah baharu telah mengumumkan kehadiran pemain import, Felipe Leite bagi memperkuatkan pasukan menghadapi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024.

Perkembangan terkini mengenai kehadiran pemain kelahiran Brazil itu disahkan laman Facebook rasmi Sabah Futsal, sebentar tadi.

Baca Juga:

Felipe nyata cukup dekat dengan kancah futsal di Asia apabila musim lalu menyarung jersi kelab gergasi Thailand, Bluewave Chonburi dan turut pernah bersama Vassagey Oita dari Jepun pada 2018/19 dan 2019/20.

Semusim bersama Bluewave Chonburi, pemain berusia 29 tahun itu berjaya meledakkan 16 gol untuk membantu kelab tersebut menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Manakala dalam 71 penampilannya di Jepun, Felipe Leite telah menjaringkan 36 gol buat Vassagey Oita.

Selain itu, Felipe turut pernah merasai pengalaman dalam saingan liga utama Portugal apabila menggalas tanggungjawab bersama AD Fundão/Hotel Alambique dan ADCR Caxinas Poça Barca.

Bersama dua kelab tersebut, Felipe membuktikan kemampuannya dengan lebih 30 gol dihasilkannya dimana beliau pernah membolosi gawang kelab-kelab gergasi Portugal seperti Benfica dan Sporting CP.

Selain daripada rembatan padu dimiliki dalam merobek gawang lawan, tubuh badan sasa dengan ketinggian kira-kira 184 cm mampu menjadi senjata utama buat Felipe ketika beraksi.

Difahamkan, seorang lagi pemain import dari Brazil akan bersama Sabah untuk digandingkan bersama Felipe.

Hal ini kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membenarkan penggunaan dua pemain import slot terbuka berbanding musim lalu apabila satu slot terbuka dan satu slot Asia dalam saingan MPFL 2023.