Kelab saingan Thai League 1, Police Tero FC baharu sahaja mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe bagi menggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih pasukan tersebut.

Pelantikan itu nyata bukanlah perkembangan yang mengejutkan kerana pengendali berusia 55 tahun itu dikaitkan dengan Police Tero selepas beliau dan Selangor FC mencapai persetujuan bersama untuk berpisah.

Baca Juga:

Malah dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam, Selangor turut mendedahkan bahawa Cheng Hoe akan membimbing sebuah kelab di Thailand.

Police Tero yang dikatakan sedang menghadapi krisis kewangan sebelum ini dibimbing oleh legenda Thailand, Worrawoot Srimaka selaku pengendali sementara.

Dengan kehadiran Tan Cheng Hoe, ini bermakna Woorrawoot akan kembali bertindak sebagai Pengarah Teknikal kelab tangga ke-14 itu.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Tan Cheng Hoe bakal berdepan cabaran sukar dalam membimbing Police Tero untuk mengelakkan pasukant tersebut daripada zon penyingkiran.

Selepas mengharungi 19 perlawanan, Police Tero hanya mampu meraih lima kemenangan, empat keputusan seri dan 10 kekalahan untuk mengumpul 19 mata.

Saingan Thai League 1 hanya berbaki 11 perlawanan untuk berakhir dan ia merupakan tugasan mencabar yang perlu dihadapi oleh Cheng Hoe.

Selepas berehat hampir lapan bulan susulan keputusannya meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah dilantik menjadi nakhoda baharu Selangor pada 24 September 2022.

Dibawah kendalian beliau, Selangor menamatkan musim 2022 ditangga kelima dan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia tetapi tewas 1-2 ditangan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Peningkatan terus dapat disaksikan apabila Selangor menamatkan saingan liga 2023 selaku naib juara hingga membolehkan mereka beraksi  dalam ACL 2 pada musim ini.