Peminat bola sepak tempatan kini boleh menarik nafas lega apabila penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak memilih Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai lokasi konsert ‘Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’.
Hal ini kerana konsert tersebut dijadualkan berlangsung pada 9 Mac 2024 dan ia tinggal 19 hari lagi sebelum aksi kelayakan Piala Dunia 2026 antara skuad Harimau Malaya menentang Oman di SNBJ pada 24 Mac.
Baca Juga:
- Coldplay Pecah Rekod 19 Tahun Siti Nurhaliza, Bawa 75,000 Penonton Di Stadium Bukit Jalil
- Siti Nurhaliza Nyanyi Lagu Nasihat Para Suami: ‘Jangan Ada Cinta Lain’
- Datuk Siti Nurhaliza Muncul Sebagai Pembayar Zakat Tertinggi Dalam Kalangan Artis
Siti Nurhaliza memilih Axiata Arena yang mempunyai kapasiti sebanyak 16,000 sebagai lokasi rasmi konsert itu meskipun terdapat cakap-cakap ia patut diadakan di SNBJ bagi mengatasi rekod kehadiran konsert Coldplay.
“Sebenarnya, saya sudah ‘booked’ lama di Axiata Arena. Tidaklah sampai setahun, tetapi sejak beberapa bulan lalu.
“Soal lokasi hanya ditimbulkan ‘orang luar’ yang membandingkan dengan konsert Coldplay… Tiada kena mengena langsung. Kami sudah rencanakan konsert ini di Axiata, sejak beberapa bulan lalu,” katanya menerusi laporan Berita Harian.
Malah, tiket konsert berkenaan habis terjual dalam tempoh dua jam sejak semalam sehingga ada peminat yang meminta agar konsert berkenaan diadakan di SNBJ yang boleh memuatkan sehingga 87,000 penonton.
Namun, permintaan peminat tersebut tidak akan dilaksanakan sekaligus memberi ruang kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk memperbaiki keadaan padang SNBJ sehingga mencapai tahap terbaik.
PSM sebelum ini dikritik hebat oleh pelbagai pihak selepas keadaan padang SNBJ yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia rosak teruk akibat ‘dihenyak’ konsert Coldplay pada 22 November lalu.
Bagaimanapun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) percaya PSM sudah mendapat pengajaran berguna daripada insiden itu dan akan berusaha memastikan venue keramat Harimau Malaya dapat digunakan untuk kempen Kelayakan Piala Dunia 2026.