Bekas Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Philippe Troussier memohon maaf kepada seluruh peminat bola sepak negara tersebut kerana gagal memenuhi jangkaan ramai sewaktu membimbing skuad Golden Star Warriors itu.

Mula memegang jawatan tersebut pada 1 Mac 2023, pengendali kelahiran Perancis itu dirundung malang ekorang prestasi hambar di Piala Asia 2024 yang menyaksikan Vietnam tewas 0-1 ditangan Indonesia.

Baca Juga:

Lebih perit untuk ditelan, skuad kendaliannya tewas pada dua lagi aksi bertemu jiran tetangga itu dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Tewas 0-1 di Jakarta dan kemudiannya dimalukan 0-3 di laman sendiri sekali gus menandakan bahawa jodoh Troussier bersama Vietnam sudah sampai ke penghujung.

Menyedari hakikat yang perlu ditelan, Troussier bagaimanapun kesal kerana tidak mendapat tempoh masa secukupnya untuk menterjemahkan pelan jangka panjang buat skuad kebangsaan Vietnam.

“Saya memahami kekecewaan para penyokong Vietnam. Ketika saya sampai, mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada saya.”

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat menghadirkan kegembiraan buat semua orang. Saya akan merindui Vietnam,” ujar Phillipe Troussier menurut sumber laporan VN Express.

“Mungkin saya telah gagal. Saya kesal kerana tidak mempunyai masa yang cukup untuk merealisasikan rancangan saya.”

“Saya benar-benar mahu membina matlamat jangka panjang untuk bola sepak Vietnam. Kejayaan saya sebelum ini datangnya daripada semangat dan kerja keras saya.”

“Jalan menuju kejayaan bukanlah satu jalan yang lurus,” tambah beliau lagi yang sudah pulang ke Perancis.

Vietnam nyata bukan asing buat Troussier kerana sebelum ini beliau pernah berkhidmat selama tiga tahun selaku Pengarah Teknikal di Akademi Bakat Bola Sepak Vietnam (PPVF) dan membantu skuad bawah 19 (B-19) tahun mara ke Kejuaraan AFC B-19 2020.