Skuad futsal Sabah mendapat pendedahan berguna menjelang sepak mula Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 apabila mengharungi empat perlawanan persahabatan di Bangkok, Thailand.

Daripada kesemua perlawanan tersebut, dua perlawanan melibatkan pertembungan menentang kelab saingan Liga Futsal Thailand iaitu Nonthaburi dan Kasem Bundit University.

Baca Juga:

Nonthaburi menamatkan saingan liga musim 2023 di kedudukan kelapan manakala Kasem Bundit pula hanya satu mata kekurangan untuk menghuni tempat kesembilan.

Perlawanan menentang Nonthaburi pada 1 Februari lalu menyaksikan Sabah mencatatkan keputusan seri 5-5 dimana pemain import, Joao Gabriel meledakkan hatrik dan dua gol lagi masing-masing disumbangkan oleh Muhamamd Akmal Hakimi Mohd Naim dan Ahmad Azim Mohammad.

Manakala pertemuan dengan Kasem Bundit University pula memihak Sabah hasil kemenangan 4-2 menerusi jaringan Felipe Leite, Muhammad Hikmal Firdaus Muhammad Darul Ridzuan, Azhar dan Muhamamd Taufik Abdul Wahab.

Joao Gabriel. Kredit Foto: Nonthaburi Futsal

Sementara itu, dua lagi perlawanan bertemu pasukan amatur turut diadakan apabila Sabah menang 5-2 ke atas Rachun Transport dan tewas 2-6 kepada skuad bawah 18 tahun Akademi Bangkrirk.

Latihan pra-musim serta aksi persahabatan di Bangkok menjadi pilihan pengurusan Sabah pada ketika kelab tersebut turut dibimbing oleh Patt Sriwijit serta mendapat tajaan kelengkapan sukan dari jenama Thailand, Bangkrirk Design.

Sabah yang kini berwajah baharu pastinya mahu memperbaiki pencapaian pada musim lalu.

Skuad futsal Sabah mara ke suku akhir MPFL 2023 tetapi terpaksa menelan hakikat tewas 0-21 secara agregat bertemu Johor Darul Ta’zim.

Malah, mereka turut gagal melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia setelah tewas kepada KL City pada aksi kelayakan.